mutakhir

[UPDATE] Pengantin rujuk TTPM pula [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PASANGAN pengantin, Mohd Nor Afzarizal Zulkipli dan Amy Nur Alice Kamaruddin yang didakwa diperdaya syarikat katering popular tampil membuat aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, hari ini.

Pasangan dari bandar Kota SAS itu mengemukakan laporan bertulis kerana tidak puas hati dengan perkhidmatan disediakan pihak katering berkenaan pada majlis resepsi di Dewan Kolej Universiti Widad, Kuantan, pada 24 Mac lalu.

Mohd Nor Afzarizal, 35, berkata, dia bersama isteri berusia 23 tahun itu berbuat demikian selepas mendapat nasihat daripada pelbagai pihak bagi menuntut keadilan untuk dirinya dan keluarga kerana mendakwa syarikat berkenaan masih tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan perkara itu, walaupun sudah lebih seminggu kejadian berlaku.

“Kami akan mengemukakan salinan aduan bertulis tribunal ini kepada pejabat cawangan syarikat katering untuk makluman mereka.

“Kes ini akan didengar pada 30 April ini dan pihak tribunal memaklumkan supaya kami sebagai pengadu dan pihak syarikat katering terbabit perlu hadir bagi mengemukakan hujah dan fakta masing-masing,” katanya pada sidang media di pejabat KPDNKK negeri, di Kuantan, hari ini.

Beliau yang bekerja sendiri berkata, sekiranya pihak katering atau wakil mereka gagal untuk hadir ke perbicaraan itu, hanya hujahan pihak mereka akan didengar dan dinilai tribunal pengguna terlebih dahulu sebelum perintah undang-undang dikeluarkan kepada syarikat berkenaan.

Kelmarin, media melaporkan pasangan pengantin berkenaan terpaksa menanggung malu selepas majlis perkahwinan diadakan mengalami beberapa masalah.

Mereka mendakwa, pihak katering yang turut melantik pasangan selebriti popular tanah air sebagai duta syarikat itu gagal menyediakan apa ditawarkan pada hari majlis.

Antara perkara didakwa gagal ditunaikan pihak katering adalah tidak menyediakan menu sambal sotong untuk 500 tetamu seperti dijanjikan atas alasan ia tertumpah di atas lori.

Mohd Nor Afzarizal berkata, dia dan isteri sentiasa terbuka untuk berunding dengan pihak katering berkenaan dan berharap ia dapat diselesaikan segera.

Beliau turut membuat laporan di Balai Polis Indera Mahkota, Kuantan, Jumaat lalu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis dibuat pasangan itu.

Beliau berkata, tiada sebarang siasatan dibuka dan kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Mahkamah (Sivil) untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

'Betul ke lauk sotong tumpah?'

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 3:12pm
d