mutakhir

Kenapa korang 'merendek' dalam kereta?

Oleh Hafizudin Mohd Safar

PADAH berdua-duaan di dalam kereta di tempat gelap, sepasang pelajar universiti awam ditahan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Batu Pahat di Kangar, awal pagi tadi.

Menurut Imam Majid Ar-Raudhah Sungai Batu Pahat, Amir Aziz yang mengetuai operasi rondaan malam tadi, pasangan berkenaan tidak menyedari kehadiran anggota SRS yang menghampiri kenderaan itu kira-kira jam 3.30 pagi.

“Pasukan SRS Sungai Batu Pahat yang memantau kawalan keselamatan di sini khasnya pada waktu malam mengesan pergerakan sebuah kenderaan sekitar jam 2.30 pagi menghala ke kawasan Bukit Air.

"Namun selepas lebih satu jam, pihak kami tidak mengesan pula sebarang pergerakan keluar, justeru sepasukan lima anggota SRS masuk ke kawasan itu melakukan rondaan.

"Sebaik tiba di suatu kawasan tidak jauh sebelum sampai kawasan Bukit Air di sini, pihak kami terjumpa sebuah kereta dan selepas dihampiri didapati terdapat seorang lelaki dan wanita bukan muhrim dalam kenderaan terbabit," katanya ketika dihubungi.

Menurut Amir, pasangan itu yang berusia 23 tahun mengaku sebagai pelajar di salah sebuah universiti awam di Kangar.

Selepas disoal lanjut, mereka mengaku memandu kereta itu ke kawasan Batu Pahat memandangkan mereka tidak dapat pulang ke asrama kerana pintu pagar sudah ditutup pada jam 12.00 tengah malam.

Pasangan itu, yang bukan berasal dari negeri ini mengakui berhasrat untuk berkahwin dalam masa yang terdekat dan sudahpun menamatkan kursus-kursus praperkahwinan.

Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Kangar oleh pihak SRS Sungai Batu Pahat untuk melaporkan tangkapan sebelum diserahkan kepada bahagian penguatkuasaan Jabatan Hal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) untuk tindakan lanjut.

"Kedua-duanya akan disiasat mengikut Seksyen 9 (1) (2) Enekmen Jenayah Dalam Syarak (EJDS) Negeri Perlis 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya skali sekiranya didapati sabit kesalahan," ujar Amir.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 7:23pm
d