mutakhir

Tipu dokumen: Pegawai bank, suami isteri ditahan

Oleh Ilah Hafiz Aziz

KETUA unit pemasaran dan pembiayaan sebuah bank bersama sepasang suami isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit dalam aktiviti rasuah memalsukan permohonan pembiayaan, tahun lalu.

Difahamkan, suspek berusia 30 tahun yang juga berkhidmat di bank cawangan Putrajaya itu dipercayai menerima rasuah kira-kira RM150,000 daripada pasangan itu sebagai balasan membuat perakuan pengesahan majikan palsu bagi meluluskan satu pembiayaan peribadi, tahun lalu.

Sumber berkata, suspek wanita berusia 37 tahun yang juga pembantu operasi pentadbiran Polis Marin dan suaminya, 36, bertemu pegawai bank itu untuk mendapatkan pembiayaan peribadi jenis i-Lestari CO-OP.

Bagaimanapun, sumber berkata, permohonan itu tidak lengkap dan mereka berpakat untuk membuat satu pengesahan palsu bagi memudahkan permohonan itu diluluskan.

"Siasatan awal mendapati, suami isteri itu memberi rasuah kepada pegawai bank itu sebagai balasan membuat perakuan pengesahan majikan untuk membolehkan permohonan pembiayaan diluluskan.

"Hasil daripada maklumat itu, satu operasi dijalankan SPRM dan menahan ketiga-tiga suspek sekitar jam 11 pagi tadi untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan penahanan itu dan berkata mereka sedang melakukan siasatan lanjut.

Ketiga-tiga suspek dijangka akan direman di mahkamah Putrajaya esok bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 8:42pm
d