mutakhir

Bincang pelancaran manifesto BN, Sabtu ini

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad; Veena Babulal dan Rizanizam Abdul Hamid

ISU pengagihan kerusi tidak dibincang pada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), malam tadi.

Sebaliknya, Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya membincang soal manifesto yang akan dilancarkan, Sabtu ini.

“Isu pembahagian kerusi tidak disentuh dalam mesyuarat, hanya persiapan untuk pengumuman manifesto.

“Perbincangan hanya mengenai hal-hal logistik dan strategik keseluruhan untuk menang pilihan raya,” katanya ditemui di lobi selepas mesyuarat itu.

Selain Abdul Rahman, beberapa pemimpin parti komponen dilihat keluar meninggalkan Menara Dato Onn selepas mesyuarat kira-kira dua jam setengah bermula 8.30 malam.

Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam serta Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang ditemui turut memberi reaksi sama dan tidak mengulas berhubung pembahagian kerusi.

Sebelum ini, media melaporkan wujud pertikaian mengenai pembahagian kerusi Parlimen dalam komponen BN.

Antaranya, Parlimen Cameron Highlands milik tradisi MIC tetapi diintai Parti Progresif Penduduk (MyPPP) apabila Presidennya Tan Sri M Kayveas dikatakan berminat bertanding, namun MIC tetap mahu meletakkan calon mereka.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands kini disandang Datuk Seri G Palanivel yang juga bekas Presiden MIC.

MCA pula mahu bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor yang dipinjamkan kepada UMNO pada PRU-13.

Selain itu, kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju yang menjadi kerusi tradisional MCA turut diintai UMNO.

UMNO mahu bertanding di Bandar Tun Razak selepas beberapa kali MCA tewas di kawasan itu.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 12:20am
d