mutakhir

But empat saat [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Petaling Jaya: Penggunaan hampir 100 peratus kevlar pada kasut but taktikal rekaannya menjadikan produk keluaran anak tempatan iaitu Muhamad Noor Hilman Mohd Yatim, 30, sebagai antara kasut memiliki ciri keselamatan paling tinggi di dunia.

Secara umumnya kevlar daripada jenis fiber sintetik yang menjadi bahan utama dalam pembuatan jaket kalis peluru atau kelengkapan ketenteraan kerana sifatnya yang tahan lasak.

Inovasi lain diterapkan, Muhamad Noor Hilman untuk memberi nilai tambah pada rekaannya itu adalah pemasangan Smart Locking System (SLS) membolehkan but berkenaan dipakai dalam tempoh empat saat saja dan kalis air.

Pemilik Hilman Authentic kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu berkata, dia menghasilkan kasut mesra pengguna itu berdasarkan kepada pengalaman sendiri ketika belajar di Maktab Tentera Diraja (MTD).

“Dalam kalangan anggota tentera, polis atau penguat kuasa mereka ini kerap berdepan kesukaran memakai kasut but. Malah kaki cepat melecet jika saiznya kecil atau dipakai dalam tempoh panjang selain ikatan mudah terungkai.

“Jadi saya pilih bahan kevlar dan terapkan sekali sistem SLS. Kasut ini bukan saja khas untuk anggota tentera atau badan berpakaian seragam tapi sesuai untuk individu aktif dalam aktiviti lasak,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Damansara Perdana.

Muhamad Noor Hilman yang turut digelar perintis Jimmy Choo berkata, sebagai peminat fesyen dia mahu menghasilkan produk berkualiti tinggi dan menepati selera pengguna.

Sebagai usahawan muda graduan Kejuruteraan Marin Akademi Laut Malaysia (ALAM) Melaka, dia sentiasa memikirkan idea terbaru yang turut menerapkan nilai teknologi dan inovasi bagi membezakan produknya dengan yang lain di pasaran.

“Boleh kata tidak ada syarikat tempatan yang keluaran but taktikal, jadi saya ambil peluang itu dan gunakan kemahiran serta idea yang ada untuk hasilkan produk sendiri.

“Apa membanggakan, but ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelanggan di peringkat antarabangsa. Malah produk ini juga sudah dipasarkan menerusi Kickstarter yang menawarkan banyak lagi barangan berasaskan inovasi dan rekaan unik,” katanya.

Anak kepada pengawal keselamatan itu meluahkan keinginannya untuk terus maju dalam bidang fesyen dan menyasarkan sehingga 10,000 pasang kasut taktikal itu dijual sehingga hujung tahun ini.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 8:05am
d