mutakhir

Bomba selamat atuk tersepit dalam kolah<strong> </strong>

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga emas berusia 87 tahun menanggung azab lebih 30 minit apabila tersepit dalam kolah air di rumahnya di Jalan Klang Lama di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam kolah berkenaan sekali gus menyebabkannya tersepit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.44 pagi.

“Seramai lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dan BBP Bukit Jalil dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati warga emas berkenaan tersepit dalam kolah bersaiz 2x4 kaki selepas dipercayai terjatuh kerana ruang kolah air itu kecil dan sempit,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Khirudin berkata, pihaknya mengambil masa beberapa minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa dari dalam kolah.

“Mangsa dilaporkan tidak cedera serius akibat kejadian berkenaan.

“Dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menggunakan ambulans bomba untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 9:40am
d