mutakhir

'Pengembara Malaysia inspirasi saya bermotosikal ke London'

Oleh Lizam Ridzuan

MEMBAWA mesej ‘Persaudaraan Tanpa Batasan’ warga Indonesia, Stephen Langitan mengembara secara solo dengan menunggang motosikal dari Indonesia ke London meliputi perjalanan sejauh 30,000 kilometer (km).

Stephen, 53, memulakan tunggangan dari Jakarta pada 25 Mac lalu bakal melintasi lebih 26 buah negara kini berada di Kuala Lumpur sebelum menyambung perjalanan ke Thailand dan dijangka tiba di London pada Ogos nanti.

Menggunakan jentera Kawasaki Versys-X dengan kapasiti enjin 250 cc, dia melakukan persiapan selama lebih enam bulan termasuk urusan dokumentasi dan memilih laluan yang sesuai di negara-negara terbabit.

“Terinspirasi daripada rakan ‘bikers’ Malaysia yang berjaya melakukan tunggangan ke Eropah membuatkan saya ingin cuba melakukannya secara solo,” katanya yang juga seorang blogger permotoran di Indonesia ketika ditemui di Shah Alam hari ini.

Stephen lebih gemar melakukan secara solo kerana mahu menguji tahap keupayaan diri serta berdikari menempuhi cabaran yang bakal dihadapi dalam menjayakan misi pertamanya itu.

Tambahnya, dalam memastikan perjalanannya akan mengikut jadual seperti yang dirancang, dia perlu berdisiplin menunggang sehingga 300 atau 400 km setiap hari.

“€œSelain itu faktor tidur yang cukup serta memulakan tunggangan jam 8 pagi setiap hari penting untuk saya mengekalkan momentum untuk tiba di London pada tarikh yang ditetapkan,” katanya yang mempunyai dua cahaya mata.

Selain bakal melalui laluan wilayah berisiko tinggi di Balochistan, Pakistan, dia juga akan menyambut perayaan Aidilfitri di Iran dan sebelum dijangka tiba di London pada 17 0gos nanti bersempena tarikh sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 2:29pm
d