mutakhir

'Angkat kereta, baru selamat'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PEJALAN kaki terpaksa menanggung azab hampir satu jam apabila tersepit di bawah kereta Perodua Myvi yang melanggarnya dalam kejadian di hadapan Hotel Corus, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, 7.10 pagi tadi.

Bagaimanapun, lelaki berusia 30-an yang parah berjaya diselamatkan anggota bomba yang tiba di lokasi pada 7.25 pagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.15 pagi dan sampai ke lokasi 10 minit kemudian sebelum mendapati seorang lelaki tersepit di bawah kereta Perodua Myvi yang terbabas ke bahu jalan.

Katanya, sebaik mendapati mangsa masih bernyawa, anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa dengan mengangkat kenderaan berkenaan secara berhati-hati.

“Usaha mengeluarkan mangsa tersepit terpaksa dilakukan secara berhati-hati dan mengambil masa kerana bimbang berlakunya tumpahan minyak.

“Malah, kami khuatir mangsa mengalami kecederaan lebih teruk jika berlaku kesilapan ketika kerja mengangkat kereta itu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berjaya dikeluarkan pada 7.50 pagi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama pemandu lelaki dan penumpang wanita Perodua Myvi masing-masing berusia 30-an cedera ringan untuk menerima rawatan lanjut.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 2:45pm
d