mutakhir

Pemandu lain tak nak tolong

Oleh Khalid Latip

WANITA terpaksa berjalan dalam keadaan gelap untuk mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan rakannya yang cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas di impang Roban di Jalan Sarikei-Saratok, Sarikei, tengah malam tadi.

Celine Phang Siew Hung, 20, nekad meminta bantuan daripada penduduk rumah panjang yang terletak hampir satu kilometer dari lokasi kejadian, selepas pengguna jalan raya lain enggan berhenti membantu mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei Suna Kaha berkata, usaha mangsa akhirnya berbaloi apabila dia berjaya menghubungi talian kecemasan dengan bantuan penduduk rumah panjang terbabit.

Beliau berkata, sebelum mendapatkan bantuan penduduk itu, Siew Hung bersama rakannya Alvin Octavius Fang Chi Feng, 29, dikatakan berada di lokasi kereta mereka terbabas selama hampir dua jam.

“Dalam tempoh dua jam itu, dia cuba mendapatkan bantuan daripada pengguna jalan raya lain namun tiada pemandu kenderaan berhenti.

“€œSelepas tidak tahan melihat rakannya menanggung kesakitan, dia nekad berjalan dalam gelap untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Suna berkata, anggota dari BBP Sarikei bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada wanita terbabit.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kereta Toyota Ipsum terbabas di tepi jalan dan seorang wanita mengalami kecederaan ringan manakala seorang lelaki pula agak parah kerana tertusuk besi berbentuk cangkuk sepanjang 30 sentimeter di kanan perutnya.

“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sarikei pada 1.45 pagi menggunakan ambulans EMRS dan tiba di hospital pada 2.24 pagi,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuching menuju ke Sibu sebelum kenderaan mereka hilang kawalan ketika menuruni bukit di selekoh tajam berhampiran simpang Mudong lalu terbabas ke lorong sebelah kanan jalan raya.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 2:49pm
d