mutakhir

Superman, Supergirl ceriakan pesakit kanak-kanak

Oleh Nor Azizah Mokhtar

KEHADIRAN adiwira 'Superman dan Supergirl' menceriakan pesakit kanak-kanak ketika lawatan pegawai kanan polis daerah Petaling Jaya ke Wad Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di Kuala Lumpur, hari ini.

Lawatan sempena sambutan Hari Polis ke-211 diketuai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din turut disertai lebih 15 ahli Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) daerah diketuai Pengerusinya, Azizah Bejuri.

Kira-kira 40 peserta lawatan melawat kira-kira 56 kanak-kanak berusia antara sebulan sehingga 12 tahun yang sedang mendapatkan rawatan di wad berkenaan.

Mohd Zani berkata, lawatan berkenaan adalah acara tahunan yang diadakan setiap kali sambutan Hari Polis bagi merapatkan lagi hubungan baik sedia ada antara pihak polis dan pusat perubatan berkenaan.

"Pihak polis dan PPUM sentiasa saling bantu membantu dalam pelbagai urusan termasuk rawatan anggota dan pegawai kita.

"Pada lawatan kali ini, kita bawakan watak-watak adiwira seperti Superman, Supergirl, The Flash dan Black Panther bersama untuk menceriakan kanak-kanak yang kita lawat pada hari ini," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Lawatan yang diiringi Pengarah PPUM, Profesor Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood.

Selain diceriakan dengan kehadiran watak adiwira, pesakit kanak-kanak di wad terbabit turut diberikan cenderahati berbentuk alat tulis dan permainan.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 4:23pm
d