mutakhir

Tiga sahabat dihukum gantung [METORTV]

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

TIGA lelaki dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar lapan kilogram (kg) dadah jenis Nimetazepam (Erimin 5) yang dijumpai dalam 191 gulungan kain, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian terhadap dua warga Taiwan Wong Fu Tai, 22, dan Chen Chi Wen, 20, serta rakyat Malaysia Cheah Chee Seng, 58, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah Nimetazapam seberat 8.17 kg di Triple A Nine Enterprise, 86-88 LG, Wisma Peng Wah, Jalan Bukit Bintang, pada 10.50 malam, 30 April 2015.

Semua tertuduh yang masing-masing kenalan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Wong dan Chen masing-masing diwakili peguam Richard Ho serta Kee Wei Lon manakala Cheah diwakili peguam KC Hue.

Terdahulu, Kee dalam mitigasinya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan terhadap anak guamnya.

Katanya, ini berikutan tertuduh memberi maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di dalam dan luar negara kepada pihak berkuasa, namun dibantah Timbalan Pendakwa Raya Azeezi Nordin.

Sepanjang prosiding perbicaraan kes yang bermula pada 11 April 2016, pihak pendakwaan memanggil 16 saksi manakala pembelaan memanggil tiga saksi iaitu semua tertuduh untuk memberi keterangan.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 5:03pm
d