mutakhir

Parah ditetak parang sendiri

Oleh Safeek Affendy Razali

LELAKI cedera parah selepas ditetak dengan parang miliknya dalam pergaduhan di gelanggang bola keranjang di Kampung Chempaka, Kelana Jaya, semalam.

Dalam kejadian 9 malam, mangsa, 24, dari Kepong datang ke lokasi berkenaan bersama beberapa rakannya untuk bertemu empat lelaki berhubung kes gaduh beberapa pelajar sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, sebaik tiba mangsa bertemu dengan kumpulan lelaki terbabit untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah pergaduhan pelajar yang berlaku beberapa hari lalu.

“Polis percaya semasa perbincangan berlangsung wujud unsur tidak puas hati sebelum parang yang dibawa mangsa secara tiba-tiba dirampas dan diserang oleh kumpulan lelaki itu.

“Akibat serangan itu, mangsa cedera parah pada lengan tangan dan kiri serta leher dipercayai akibat ditetak dengan parangnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zani berkata, pihaknya yang menerima maklumat awam terus menggerakkan Operasi Cantas sebelum berjaya menahan tiga lelaki yang juga penduduk Kampung Chempaka berusia 40 hingga 50-an untuk siasatan.

“Hasil siasatan mendapati seorang lagi suspek menghilangkan diri selepas mengetahui pihak polis sedang mengesannya,” katanya.

Katanya, pihak polis akan mendapatkan keterangan daripada mangsa yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 5:50pm
d