mutakhir

'Pulanglah bang, mak rindu'

Oleh Nor Azizah Mokhtar

“SUDAH 15 tahun dia menghilangkan diri. Sampai satu tahap, mak hampir berputus asa dan anggap dia sudah meninggal dunia.”

Begitu kata Andera Che Ibrahim, 36, berhubung abangnya Azman, 42, yang kali terakhir pulang ke rumah keluarga mereka di FELDA Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan pada November 2003.

Andera berkata, ibunya amat sedih dengan kehilangan anak sulungnya sejak Azman tidak pernah pulang mahupun menghubungi keluarga selepas dipercayai berkecil hati kerana dimarahi.

“Dia pulang untuk beberapa hari dan itulah kali terakhir (November 2003) dia pulang berjumpa mak dan ayah di kampung.

“Saya sendiri kali terakhir berjumpanya pada Julai 2003 semasa dia pulang ke Gemas untuk majlis perkahwinan saya. Selepas itu saya langsung tidak pernah berjumpa sehinggalah ke hari ini," katanya ketika hadir di Balai Berita, Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, Azman ketika itu bekerja sebagai kelindan lori di Terengganu dan hanya akan pulang ke kampung untuk tempoh empat atau lima bulan sekali.

Menurut Andera, selepas beberapa tahun abangnya menghilangkan diri, ibunya, Siti Aminah Ab Razak, 61, dan bapanya, Che Ibrahim Hamad, 62, hampir berputus asa untuk mencari dan menunggu kepulangan abangnya.

“Sehinggalah beberapa bulan lalu apabila menerima khabar daripada jiran sekampung ada terjumpa Azman di Kajang, Selangor.

“Mak begitu teruja dan mula berharap dapat bertemu dengan abang semula kerana terlalu rindukannya. Bagaimanapun, kami kehilangan punca bagaimana untuk mencari atau menghubunginya," katanya.

Menurutnya, mereka membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan alamat terkini, namun hampa kerana Azman masih menggunakan alamat lama di Gemas.

Katanya, dia berharap Azman atau sesiapa yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenainya dapat menghubunginya di talian 010-3220086 atau ibunya di talian 013-6503361.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 7:42pm
d