mutakhir

Terpisah sejak 16 tahun lalu

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

REMAJA bersyukur akhirnya dapat bertemu semula dengan seorang daripada ahli keluarga yang juga kakak kandungnya selepas terpisah sejak 16 tahun lalu.

Selain dapat melepaskan rindu, Navin Paul Raj, 16, juga bersyukur proses dokumentasi kad pengenalan yang diperlukannya selama ini sudah dapat diproses.

Beliau yang tinggal bersama bapa angkatnya, A Chinnapan, 60, sejak lahir sebelum ini mengalami pelbagai kesukaran untuk memohon kad pengenalan berikutan gagal mengesan ibu bapa kandungnya.

"Saya sudah berhenti sekolah sejak Tingkatan Dua kerana bapa angkat bukan orang senang. Pelbagai usaha sudah dilakukan bapa angkat saya sejak 10 tahun lalu untuk mengesan mereka tetapi gagal.

"Mujur atas bantuan pihak Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) dan akhbar ini yang sebelum ini menyiarkan kisah saya, akhirnya saya berpeluang berjumpa seorang daripada ahli keluarga kandung.

"Selepas ini peluang saya untuk mendalami bidang motomekanik di Montfort Youth Centre di Air Salak Dalam semakin cerah selepas adanya kad pengenalan, malah segala urusan juga akan menjadi lebih mudah," katanya.

Beliau ditemui selepas pertemuan dengan kakak kandungnya, N Kalai Selvi, 24, di Rembia di Melaka, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz.

Pada Januari lalu, Harian Metro menyiarkan kisah Navin yang malang kerana tidak pernah kenal ibu bapanya, malah menghadapi kesukaran kerana tiada kad pengenalan diri biarpun adalah warganegara.

Remaja itu diserahkan oleh ibu bapanya kepada Chinnapan sejak bayi untuk dijaga sehingga kini disebabkan kesempitan hidup.

Sementara itu, Kalai yang juga anak ketiga daripada lapan beradik berkata, dia berasa gembira kerana kerinduan hampir 16 tahun kini terlerai selepas dipertemukan dengan adik bongsunya itu.

"Saya tak sangka dapat jumpa lagi dengan dia (Navin). Saya bersyukur dia membesar dengan sihat dan berjanji membantunya untuk proses dokumentasi esok dan berharap perjalanan hidupnya selepas ini menjadi lebih mudah," katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 8:29pm
d