mutakhir

Dua maut kereta rempuh jentolak

Oleh Mohd Nazllie Zainul

DUA lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar bahagian belakang jentolak di Jalan Kanibongan-Pitas berhampiran simpang Paitan, Kota Marudu, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa, Joddy Kumin, 33, dan Sandro Vickie Thomas, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di kepala dan dada.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, kedua-dua mangsa warga tempatan dan bekerja di Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Pitas.

Mohd Izaan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada 9.45 malam daripada orang awam.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Proton Saga FLX dipandu mangsa daripada arah Pitas menuju ke Kanibongan.

“Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian kereta terbabit terbabas dan merempuh bahagian belakang sebuah jentolak yang diletakkan di tepi sebelah kanan jalan menghala ke Kanibongan.

“Ekoran pelanggaran itu, kedua-dua mangsa maut di lokasi kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sampel darah kedua-dua mangsa sudah diambil bagi ujian alkohol bagi memastikan sama ada pemandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau tidak.

Menurutnya, pemeriksaan di sekitar tempat kejadian mendapati keadaan jalan raya dalam proses pembaikan mengakibatkan permukaan jalan berpasir dan tidak berturap.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 11:32am
d