mutakhir

Dewan Rakyat: 3 penyakit utama punca kematian jemaah haji

Oleh Hidir Reduan; Idris Musa; Nor Ain Mohamed Radhi dan Siti Nur Mas Erah Amran

MASALAH jantung, paru-paru dan jangkitan kuman dikenal pasti tiga punca utama yang menyebabkan kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, seramai 411 jemaah haji Malaysia direkodkan meninggal dunia di Tanah Suci sejak 2010.

"Secara keseluruhan tiga punca utama kematian mereka adalah disebabkan masalah jantung (44 peratus), paru-paru (32 peratus) dan jangkitan kuman (5 peratus)," katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) di Dewan Rakyat yang ingin tahu jumlah jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah dan Madinah serta punca kematian mereka sejak 2010 selain langkah tambahan dan bantuan kerajaan dalam memastikan mereka yang sakit mendapat rawatan segera dan terbaik.

Asyraf Wajdi berkata, bagi memastikan jemaah haji menerima rawatan terbaik, Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengambil beberapa langkah antaranya setiap bakal haji perlu melalui dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum berlepas ke sana.

Selain itu katanya, ketika musim haji, TH menyediakan rombongan petugas perubatan yang terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan, pegawai farmasi, jururawat dan lain-lain kakitangan sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Rombongan perubatan ini juga akan berkhidmat di dua pusat rawatan kita di Madinah dan Makkah serta di klinik yang dibuka di semua bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

"Pasukan perubatan ini juga membuat lawatan dari bilik ke bilik penginapan jemaah untuk mengenal pasti keperluan rawatan," katanya.

Beliau berkata, TH juga membuka pusat rawatan dan klinik untuk beroperasi pada musim haji setiap tahun yang telah memperoleh kelulusan khas daripada Arab Saudi.

"Bagi jemaah haji yang memerlukan rawatan lanjut, mereka akan dihantar dan dibawa ke hospital kerajaan Arab Saudi yang terdekat untuk mendapat rawatan dan ini akan dipantau oleh pasukan khas diketuai doktor pakar yang dibawa TH daripada KKM," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk berkaitan pampasan ataupun sumbangan pernah disuarakan kerajaan Arab Saudi kepada mangsa tragedi kren runtuh pada 11 September 2015, Dr Asyraf Wajdi berkata, ia janji satu pihak yang tidak mengikat kepada kedua-dua belah pihak.

"Jadi, di peringkat kerajaan Malaysia kita sentiasa berhubung dengan pihak kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan maklum balas dari masa ke semasa bagaimana letak duduknya pampasan ataupun sumbangan yang diumumkan Arab Saudi ketika berlakunya kren tumbang itu," katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 1:45pm
d