mutakhir

Honda panggil balik 28,399 model

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

HONDA Malaysia meneruskan langkah berjaga-jaganya dengan memanggil balik 28,399 model kenderaannya yang dikeluarkan pada 2013 bagi menggantikan semula beg udara hadapan penumpang buatan Takata.

Model yang terjejas ialah Honda City (14,944 unit), Honda Jazz (6,874 unit), Honda Jazz Hybrid (6,211 unit) dan Honda Insight (370 unit).

Honda Malaysia dalam kenyataan berkata, sehingga Mac tahun ini, pihaknya telah menggantikan lebih daripada 435,000 unit, atau 77 peratus inflator beg udara bahagian hadapan dan bahagian pemandu Takata daripada kenderaan tahun 2013.

“Kami akan terus proaktif memanggil balik kenderaan dan terus memberi peringatan dan memaklumkan kepada pelanggan akan kepentingan untuk menggantikan inflator beg udara kenderaan terbabit menerusi media sosial dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memaklumkan semua pelanggan terbabit menerusi surat dan memasukkan butiran terperinci penggilan balik produk itu.

“Pelanggan yang menerima surat ini digalakkan untuk menghantar kenderaan mereka ke pengedar sah Honda terdekat atau Mobile Hubs secepat mungkin bagi mendapatkan pemeriksaan dan penggantian percuma. Model kereta keluaran terbaru tidak terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 7:36pm
d