mutakhir

DAP setuju guna logo bersama

Oleh Ismail Mat

DAP semalam, mengumumkan persetujuan untuk menggunakan satu lambang yang dipersetujui semua komponen parti dalam pakatan harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, keputusan terbabit diambil selepas kegagalan PH didaftarkan sebagai pakatan untuk bertanding dalam PRU-14.

“Selama ini, setiap kali bertanding menghadapi PRU, DAP menggunakan logo Roket tetapi kali ini, kita sudah bermesyuarat dan bersetuju untuk menggunakan logo bersama (common logo).

“Ini adalah satu keputusan (guna logo bersama) yang bukan mudah dicapai tetapi DAP bersetuju menggunakannya kecuali di Sabah dan Sarawak, yang tidak terikat dengan keputusan ini.

“Di Sabah dan Sarawak, (calon DAP) boleh terus menggunakan logo Roket,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Guan Eng berkata, logo yang akan digunakan oleh DAP dan parti dalam PH akan diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad di Johor Bahru, esok.

Beliau mengakui, langkah DAP bersetuju untuk menggunakan logo bersama pada PRU-14, boleh memberi sedikit kesan (kepada pencapaian parti itu).

“Langkah ini (persetujuan menggunakan logo bersama) pasti memberi kesan, kita tidak boleh nafikannya tetapi adalah penting untuk kita, bukan setakat pastikan satu lawan satu dengan BN tetapi menggunakan satu logo bersama selepas PH tidak dapat didaftarkan,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 11:13pm
d