mutakhir

PDRM jamin ketenteraman awam terkawal

Oleh Safeek Affendy Razali

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) yakin kematangan rakyat negara ini untuk tidak menimbulkan sebarang kekacauan sepanjang tempoh pembubaran Parlimen bermula esok sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diadakan.

Namun, pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada terhadap segelintir pihak yang mungkin cuba mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya berharap masyarakat mengambil tindakan positif dengan menggunakan hak mereka sepanjang tempoh Parlimen dibubarkan sehingga kerajaan baharu dibentuk.

“Kita sudah siap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh pembubaran Parlimen, hari penamaan calon, tempoh berkempen dan ketika hari membuang undi berlangsung.

“Sebarang langkah keselamatan yang bakal dilakukan bukanlah untuk menyusahkan orang ramai, sebaliknya demi memastikan negara berada dalam keadaan selamat,” katanya, hari ini.

Mohamad Fuzi sebelum ini dipetik berkata, masyarakat diminta mematuhi undang-undang dengan tidak terbabit dalam sebarang perkara yang boleh membawa kepada kemudaratan negara pada bila-bila masa.

“Sebarang tindakan yang bakal dilakukan oleh PDRM juga adalah bergantung kepada situasi dan keperluan semasa selain memastikan keselamatan rakyat diutamakan ketika keluar mengundi.

“Polis akan mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang cuba mengganggu keselamatan serta cuba memecah keamanan negara di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 70 peratus daripada lebih 117,000 pegawai dan anggota PDRM akan ditugaskan sepanjang tempoh pembubaran Parlimen sehingga PRU-14, di seluruh negara.

Selain itu, PDRM juga sedia menggerakkan pasukan polis simpanan pada bila-bila masa sekiranya keadaan memerlukan.

Katanya, tugas hakiki yang dijalankan oleh pegawai dan anggota yang terbabit dalam penugasan PRU-14 ini akan ditampung 4,100 anggota pasukan Sukarelawan Polis di seluruh negara.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 9:03pm
d