mutakhir

Wanita hamil berdepan diskriminasi di tempat kerja

Oleh Siti Salmiah A Hamid

KIRA-KIRA 40 peratus wanita mengandung di negara ini berhadapan dengan isu diskriminasi di tempat kerja.

Kajian hasil daripada Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA) itu dibuat ke atas beberapa wanita yang bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta.

Naib Presiden WOA Meera Samanther berkata, wanita menghadapi pelbagai cara diskriminasi termasuk diberhentikan kerja serta-merta, dipaksa untuk menandatangani surat pemberhentian kerja secara sukarela, tidak menerima kenaikan jawatan dan gaji serta tidak diberikan bonus tahunan.

“Doktor, guru, pensyarah, pengamal undang-undang dan semua wanita yang memiliki kerjaya profesional turut tidak terlepas daripada isu diskriminasi ini.

“Mereka mempunyai kelayakan dan pengalaman setanding atau lebih daripada rakan lelaki, namun hak mereka dinafikan di tempat kerja,” katanya pada program Perbincangan Kesaksamaan Wanita Di Tempat Kerja sempena Kempen Hari Wanita Digi MyReward di Ibu Pejabat Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Ketua Editor Blu Inc Media Seema Viswanathan; Pakar Sumber Manusia Digi Sulaxmi Prasad dan mangsa diskriminasi Ann Wee Li Tza.

Meera berkata, negara ini belum mempunyai akta khusus yang bertujuan melindungi kebajikan wanita di tempat kerja.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu sudah mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Rohani Abdul Karim yang akan membincangkan hal berkenaan dengan lebih lanjut.

Sementara itu, menerusi tema 'Make a Difference' Digi meraikan Hari Wanita tahun ini dengan menawarkan ganjaran kepada pelanggannya untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi wanita dalam pembinaan negara.

Ketua iTelco Digi How Lih Ren berkata, kempen Hari Wanita MyDigi Rewards adalah kempen ganjaran pertama yang membolehkan pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Hermo Malaysia dan rakan niaga lain.

“Ia bukan sahaja meraikan kaum wanita yang selama ini berhadapan dengan pelbagai cabaran, malah turut memperkasakan wanita, sekali gus menghubungkan mereka dengan satu platform yang membolehkan wanita memainkan peranan dalam masyarakat.

“Menerusi aplikasi MyDigi, pelanggan boleh mendapatkan baucer diskaun 10 peratus daripada MyDigi Rewards. Hasil pembelian baucar disumbangkan terus ke WAO sebagai tanda sokongan misi WAO terhadap hak kesamarataan wanita,” katanya.

Manakala, pada 8 April ini, Hermo Malaysia dan rakan niaga bakal mengadakan sesi terapi kecantikan ke atas 30 wanita yang berlindung di rumah perlindungan WAO akibat keganasan rumah tangga.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 9:09pm
d