mutakhir

Perintah berkurung ESSZONE dilanjutkan

Oleh Wan Faizal Ismayatim

PERINTAH berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi bagi fasa ke-86.

Tempoh perintah berkurung bagi fasa baharu itu dilanjutkan mulai petang esok hingga 23 April depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, peraturan itu dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah, iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran dari 6 petang hingga 6 pagi.

Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai di daerah terbabit supaya tidak berada di lokasi diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung.

“Keperluan meneruskan perintah berkurung di perairan terbabit ialah bagi memastikan ia tidak dicerobohi pengganas mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa, selain mengelakkan pelancong di pulau peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

“Ini kerana maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf, masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

“Kita juga mahu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta berada di daratan kawasan ESSZONE,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Ramli berkata, pelaksanaan perintah berkurung turut memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot, selain menimbulkan rasa selamat serta yakin pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah terbabit untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 11:29am
d