mutakhir

PRU-14 dinantikan pengundi muda

Oleh Mary Victoria Dass

PEMBUBARAN Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dinanti-nantikan pengundi kali pertama bagi melaksanakan hak serta menentukan kerajaan.

Penuntut universiti, Zainureena Zainuddin, 22, berkata, tahun ini adalah pengalaman baru baginya bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai warga negara ini dengan mengundi.

Menurutnya, dia juga tidak melepaskan peluang untuk mendaftar mengundi lebih awal pada tahun lalu.

“Pembubaran Parlimen hari ini menandakan negara kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan bagi tujuan itu, semua penduduk perlu bersedia.

“Sebagai orang muda, saya juga sedar dalam negara demokrasi berparlimen, pemimpin dipilih menerusi proses pilihan raya. Saya yakin golongan muda seperti kami juga mampu membuat keputusan bijak dan stabil,” katanya.

Sementara itu, pekerja restoran makanan segera, I Suman Raj, 22, berkata, pembubaran Parlimen yang akan menyaksikan pelaksanaan PRU-14 dalam tempoh terdekat menjadi perkara penting bagi semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, dia mengetahui maklumat berkaitan pembubaran parlimen menerusi hebahan di radio.

“Apa yang saya faham selepas pembubaran Parlimen, Perdana Menteri dan anggota kabinet akan meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara yang mentadbir urusan negara.

“Proses pilihan raya akan membentuk kerajaan baru dan bagi tujuan itu, semua penduduk yang layak mengundi perlu melaksanakan hak mereka.

“Saya yang bekerja di Singapura juga bercadang memohon cuti pada hari mengundi,” katanya.

Sukarelawan, Muhammad Shahfudin Sudin, 23, berkata, golongan muda sepertinya juga tidak sabar menghadapi hari mengundi dan mengetahui kerajaan yang bakal memerintah negara dan negeri ini.

“Sebagai anak jati Johor, sudah tentu saya juga tidak sabar menantikan hari mengundi dan pembentukan kerajaan baru.

“Diharap, PRU ini berlangsung secara aman seperti sebelumnya,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 3:59pm
d