mutakhir

Amukan tak dapat 'barang'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

WANITA ketakutan apabila adik lelakinya mengamuk apabila memecahkan alat pembesar suara selepas tidak diberi wang untuk membeli dadah dalam kejadian di Taman Rasah Jaya, Seremban, Rabu lalu.

Sumber berkata, dalam kejadian 8 malam, operator pengeluaran kilang, 35, itu didatangi adik lelakinya, 33, sambil sebatang kayu.

Katanya, lelaki terbabit mengugut mahu membunuh kakaknya, selain bertindak memecahkan barang di rumah itu berikutan tidak diberikan wang.

“Tidak lama kemudian, suspek bergegas ke rumah ibunya yang terletak berhampiran lalu memecahkan alat pembesar suara.

“Suspek yang juga bekas pemandu lori bertindak demikian kerana dipercayai mengalami ketagihan dadah," katanya.

Kata sumber itu, suspek kerap mengamuk jika tidak mengambil dadah atau diberi wang membeli barang larangan berkenaan.

“Lelaki itu pernah dirujuk kepada pakar psikiatri Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban kerana disyaki mengalami masalah mental. Dia juga beberapa kali ditahan polis kerana memiliki dadah,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian dibuat mangsa pada 10.24 malam Rabu lalu.

Katanya, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IDP Seremban berjaya menahan suspek pada 2.30 petang kelmarin di sekitar taman perumahan berkenaan.

“Suspek direman empat hari bermula semalam hingga Isnin ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 5:07pm
d