mutakhir

Murid berkudis dek hama bangkai tikus

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

SERAMAi 22 murid dan 11 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pekan di Kampar mengalami kegatalan pada tangan dan kaki termasuk berkudis akibat serangan hama di sekolah berkenaan.

Akibat kejadian itu, murid yang berdepan masalah berkenaan dikuarantin di rumah mereka dan tidak dibenarkan hadir ke sekolah buat sementara waktu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, masalah itu berpunca daripada hama yang terdapat pada bangkai haiwan seperti tikus yang ditemui di atas siling sebuah blok bangunan sekolah berkenaan.

“Murid-murid berkenaan mengalami kegatalan yang serius menyebabkan mereka mengalami kudis berserta nanah.

“Mereka terpaksa dikuarantin di rumah masing-masing bagi mengelak sentuhan kulit dengan murid lain di mana ia kemungkinan boleh menyebabkan jangkitan.

“Satu blok di kawasan sekolah terbabit juga diarahkan tutup selama dua minggu bagi kerja pembasmian kuman. Masalah ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri sejak pertengahan Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mah berkata, Jabatan Kesihatan Negeri memandang serius masalah itu dan pelbagai langkah akan dilakukan bagi mengelak jangkitan berulang.

“Kami akan mengadakan pemeriksaan bangunan secara berkala termasuk di bahagian siling bagi mengelakkan terdapat bangkai tikus atau burung di bahagian berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Hassan Merican dalam kenyataannya juga mengesahkan bilangan murid dan guru yang berdepan masalah itu termasuk mengalami kesan bintik-bintik pada tangan dan kaki.

Katanya, tindakan segera diambil oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kampar selepas menerima notifikasi awal.

“Apabila masalah ini berulang pada awal April lalu, arahan penutupan satu blok bangunan sekolah berkenaan dibuat mengikut Seksyen 18(1)(c) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (dikeluarkan) bermula 5 hingga 19 April ini untuk kawalan penyakit dan pembersihan lanjut dapat dijalankan oleh pihak sekolah.

“Orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana kejadian ini adalah terpencil dan dapat dikawal," katanya.

Dalam pada itu, sumber berkata, pihak sekolah memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kampar untuk melakukan peperiksaan selepas ramai murid mengadu mengalami alahan kulit dan gatal-gatal yang serius.

“Masalah ini sudah sebulan berlaku dan keadaan menjadi lebih teruk, baru-baru ini. Kami dimaklumkan hama itu dibawa oleh burung hantu yang membawa bangkai tikus dan meletakkannya di atas siling bangunan sekolah itu.

“Bangunan Blok A yang membabitkan kelas bagi Tahun Satu dan Dua serta pejabat guru ditutup buat sementara waktu," katanya.

Serangan hama itu menjadi viral selepas Pejabat Kesihatan Daerah Kampar memuatnaikkan gambar operasi pembersihan yang dilakukan di atas siling bangunan sekolah terbabit di laman Facebook jabatan berkenaan.

Beberapa gambar termasuk operasi pembersihan, murid yang dijangkiti kudis, bangkai tikus dipercayai dimakan burung hantu di atas siling bangunan dan sampel hama yang diambil turut dikongsi.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 6:02pm
d