mutakhir

Nak lihat sendiri kemeriahan Gegaria Fest

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

CUTI hujung minggu dan cuaca yang baik dimanfaatkan orang ramai untuk berkunjung ke Festival GegaRia 2018 #KitaOK di Dataran Centrio, Seremban 2, hari ini.

Antaranya penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Port Dickson, Syuhada Yusof, 21, bersama dua rakannya yang sejam memandu untuk ke tapak program.

Menurutnya, kunjungannya adalah bagi melihat sendiri kemeriahan festival selain mendapatkan pengetahuan berkaitan kos pengajiannya.

“Apabila dapat tahu mengenai siri jelajah GegaRia 2018 di Seremban, kami terus merancang datang ke sini walaupun terpaksa menempuh perjalanan hampir sejam dengan memandu kereta.

“Kami tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu artis popular dan melihat pameran serta aktiviti yang disediakan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

“Sementara itu, suri rumah, Nurul Aznira Azmi, 31, berkata dia bersama enam ahli keluarganya datang dari Senawang dan tiba jam 11 pagi untuk memeriahkan festival berkenaan.

“Saya gemar mengunjungi program seperti ini dan apabila adanya festival ini saya tidak lepaskan peluang untuk bawa keluarga berkunjung dan melihat apa yang disediakan di sini.

“Saya sempat bermain lompat tali bersama anak dan menyertai permainan congkak. Anak-anak sangat seronok kerana berpeluang bermain pelbagai permainan yang jarang ditemui,” katanya.

Bagi kakitangan swasta, Mohd Fadzmi Hazri Mohd Darus, 39, yang menetap di Garden Homes, pula berpendapat festival yang dianjurkan Media Prima Berhad (MPB) ini perlu diteruskan dan sangat menarik untuk hiburan seisi keluarga.

Selain pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon disediakan, pengunjung juga berpeluang bertemu artis popular seperti Mak Cun, Aiman Tino, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Elfira Loy dan ramai lagi.

Acara kemuncak konsert #GoGegaria malam ini bakal menyaksikan pengunjung dihiburkan dengan persembahan Noh Salleh, Kugiran Masdo dan Bunkface.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 7:03pm
d