mutakhir

Pinjaman perumahan harga bawah RM300,000 lebih mudah

Oleh HNM Digital

Perumahan Keperluan Rakyat/

Pemacuan Modal Insan dan Kecemerlangan Pendidikan

PENUBUHAN bank khusus bagi memudahkan pinjaman perumahan mampu milik dan kos rendah pada harga RM300,000 ke bawah adalah intipati Teras 3, Perumahan Keperluan Rakyat.

Dalam teras itu, ia menggariskan usaha mewujudkan entiti tunggal untuk menyelaras keseluruhan inisiatif perumahan mampu milik termasuk memantau proses pembinaan, sekali gus menutup kelompangan dalam sistem sedia ada.

Usaha berkenaan akan dibuat menerusi penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3PAN) yang bertujuan mengawal selia, mengurus isu perumahan awam mencakupi kualiti perumahan, keperluan semasa dan penentuan kelayakan menduduki.

Selain itu, beberapa inisiatif menyentuh sektor perbankan, syarikat utiliti dan proses perolehan kediaman dimasukkan seperti pemberian insentif cukai atau dana pembangunan bagi menggalakkan bank dan pemaju perumahan menawarkan skim sewa-untuk-beli.

Kajian semula struktur caj utiliti yang dikenakan Telekom, Indah Water dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap pemaju perumahan akan dilaksana dalam mengurangkan kos pembinaan kediaman.

Selaras usaha untuk merungkai masalah berbangkit, had tuntutan menerusi kuasa Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) ditingkatkan daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Kuasa kerajaan akan turut diperluaskan untuk menghidupkan semula projek perumahan terbengkalai daripada had asal RM70,000 kepada RM120,000. Ia membabitkan 21 projek terbengkalai dan 2,794 unit dengan peruntukan sebanyak RM123 juta.

Penjawat kerajaan turut ditawarkan skim bantuan sewa perumahan awam bagi membantu penyewa dalam kategori miskin dan orang kurang upaya (OKU).

Peluang dibuka kepada pesara kerajaan dan anak mereka untuk membeli unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) berharga antara RM150,000 hingga RM300,000 selain mewujudkan kuota RM10,000 unit PPA1M bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi Teras 4 pula, Pemacuan Modal Insan dan Kecemerlangan Pendidikan (BN) akan memfokus 26 aspek utama pemacuan modal insan dan kecemerlangan pendidikan, termasuk melengkapi lima juta pelajar sekolah dengan kemahiran digital Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0) dalam masa lima tahun.

Melalui manifesto bertema ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), aspek pensaizan wajar bilik darjah, mengurangkan beban kerja pentadbiran pendidik dan menyediakan peralatan bantuan mengajar lebih baik, turut diberi tumpuan.

Bersama mandat rakyat yang jelas, bantuan sekali beri sebanyak RM1,500 disediakan untuk anak penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mendaftar di institusi pengajian tinggi (IPT).

BN juga akan mempertingkat kemahiran bahasa Inggeris di sekolah menerusi Program Dwibahasa (DLP) serta Program Imersif Tinggi (HIP), selain memperkenalkan sekolah beraliran Inggeris di Sabah dan Sarawak sebagai projek rintis.

Seterusnya, mencerap lebih banyak fakta serta perspektif sejarah dari Sabah dan Sarawak untuk memantapkan sukatan pelajaran Sejarah, selain menubuhkan Institut Kajian Peribumi dan Penduduk Asli di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain itu, memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta beriltizam mendaya ekosistem universiti yang dinamik, bersesuaian keperluan Industri 4.0.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 9:55pm
d