mutakhir

Peneroka FELDA dapat lima insentif dan inisiatif

Oleh Zanariah Abd Mutalib

LEBIH 112,000 peneroka FELDA di seluruh negara akan terus menikmati pelbagai insentif ditawarkan di bawah Manifesto Barisan Nasional (BN).

Sebanyak lima insentif dan inisiatif disediakan untuk golongan itu bagi memastikan ekonomi dan kesejahteraan hidup mereka terpelihara.

Insentif berkenaan termasuk pemberian insentif khas RM5,000 kepada setiap peneroka FELDA dan mewujudkan geran khas tanaman semula sebanyak RM7,500 per hektar bagi setiap peneroka FELDA yang layak selama lima tahun bermula 2018.

Selain itu, pelupusan hutang pembelian saham FELDA Global Ventures (FGV) peneroka FELDA dan memperuntukkan dana khas pelupusan hutang luar biasa atau ekstrem untuk peneroka FELDA yang layak bagi tempoh lima tahun bermula 2018 berjumlah RM300 juta.

Inisiatif FELDA 2.0 akan turut diperhebatkan melalui 15 rancangan untuk 2018 dan 2019 dengan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi mewujudkan komuniti pintar dan ekonomi setempat yang lestari.

Inisiatif ini akan diteruskan ke rancangan FELDA di seluruh negara dan akan memberi manfaat kepada peneroka dan generasi kedua yang bermastautin di Rancangan FELDA.

Sementara itu, di bawah teras ketiga iaitu Perumahan Keperluan Rakyat, inisiatif bagi membantu golongan peneroka akan dilaksanakan dengan membina lebih banyak rumah komuniti FELDA terutama untuk generasi kedua dan ketiga.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 9:56pm
d