mutakhir

Tak mudah diperdaya

Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Veena Babulal

Kuala Lumpur: Masyarakat India di negara ini tidak mudah diperbodohkan dengan janji 100 hari pakatan pembangkang bagi menyelesaikan masalah kaum itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, masyarakat itu tidak bodoh, sebaliknya bijak memikirkan masa depan mereka berada di tangan Barisan Nasional (BN).

Katanya, pemimpin utama pembangkang mempunyai tempoh 22 tahun untuk menyelesaikan masalah masyarakat India, tetapi gagal.

Beliau berkata, pemimpin itu kini mengatakan mereka mampu menyelesaikan dalam tempoh 100 hari (selepas pembangkang mengambil alih kuasa).

“Pemimpin selama 22 tahun itu mempunyai sifat buruk, suka menyalahkan orang lain dan bukan dirinya sendiri.

“Dia tidak boleh salahkan Presiden MIC, Tan Sri S Samy Vellu yang menjadi Menteri Kerja Raya ketika beliau menjadi Perdana Menteri sebagai punca masalah masyarakat India dalam pendidikan, ekonomi dan aspek lain.

“Samy Vellu tidak boleh selesaikan masalah ekonomi dan pendidikan kerana portfolio beliau hanya Kerja Raya, bukan kewangan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Pelaburan Khas Masyarakat India B40, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam yang juga Presiden MIC, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, Perdana Menteri selama 22 tahun itu mempunyai sifat buruk suka menyalahkan orang lain dan bukan dirinya sendiri.

Katanya, ini termasuk skandal kerugian Forex Bank Negara Malaysia (BNM), Op Lalang dan Peristiwa Memali.

“Dia menyalahkan orang lain punca kejadian itu. Seolah-olah hanya beliau yang benar manakala yang lain salah,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 5:49am
d