mutakhir

Sesak nafas di Gunung Kinabalu

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PENDAKI wanita mengalami sesak nafas ketika menuruni Gunung Kinabalu, malam tadi.

Bavani Sheivadasan, 46, bersama dua lagi rakannya dan seorang malim gunung dalam perjalanan turun daripada puncak gunung.

Bagaimanapun, dalam kejadian 9.15 malam itu, mangsa secara tiba-tiba mengadu sesak nafas ketika berada di Kilometer (KM) Dua.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Jimmy Lagon berkata, mangsa dan rakan sebelum itu turun lebih awal bersama sekumpulan pendaki lain pada sebelah pagi.

"Disebabkan pergerakan mereka agak lambat, hanya tinggal mereka bertiga dan seorang malim gunung sahaja ketika kejadian.

"Bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kejadian itu pada 9.27 malam.

"Seramai tiga anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ranau serta tiga anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) ditugaskan ke lokasi bagi memberi bantuan kecemasan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jimmy berkata, mangsa seterusnya dibawa ke Timpohon Gate sebelum Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 10:25am
d