mutakhir

Tikam perut, tetak tubuh isteri!

Oleh Amniera Naziera Amran

DIPERCAYAI akibat cemburu, seorang warden penjara menetak isteri dan anak lelakinya dengan parang dalam insiden amuk di kawasan perumahan Penjara Pusat Koreksional Labuan di Taman Bakti, Labuan, petang semalam.

Suspek berusia 53 tahun itu bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam rawatan di Hospital Labuan selepas mengalami pelbagai kecederaan, termasuk kesan tetakan di belakang tengkuk dipercayai akibat perbuatannya sendiri.

Kejadian bermula pada 3 petang apabila berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya berusia 45 tahun disyaki berpunca akibat cemburu selepas dia menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, suspek kemudian masuk ke bilik tidur dan keluar semula membawa sebilah parang lalu menikam isterinya di bahagian perut dan menetak beberapa bahagian badan mangsa.

Beliau berkata, suspek kemudian bergelut pula dengan anak sulungnya berusia 23 tahun sehingga pemuda itu cedera di tangan.

"Anak lelaki suspek kemudian memapah ibunya menyeberang jalan menuju ke kawasan perumahan berdekatan untuk menyelamatkan diri, namun dikejar dan dihalang suspek menggunakan kenderaannya.

"Isteri suspek kemudian rebah di kawasan semak di tepi jalan dan anaknya pula dapat melarikan diri ke kawasan semak," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Muhamad Farid berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.13 petang sebelum menghantar sepasukan anggota ke tempat kejadian lalu mengarahkan suspek yang berada berhampiran pintu masuk Pusat Koreksional Labuan menyerah diri.

"Suspek yang berdiri di sebelah kenderaannya jenis Toyota Avanza melibaskan parang ke arah polis dan menggugut menikam dirinya jika cuba dihampiri.

"Pada jam 5.20 petang, suspek masuk ke dalam kenderaannya dan memecut melepasi halangan kenderaan pasukan keselamatan dan melarikan diri ke kawasan pantai di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) namun arahan untuk menyerah diri tidak diendahkan.

"Suspek semakin agresif menggugut hendak menyerang polis dengan menyebabkan satu tembakan amaran dilepaskan ke udara, namun terus agresif mengakibatkan tembakan kali kedua disasarkan di paha kiri," katanya.

Beliau berkata, suspek tidak rebah dan tidak menunjukkan tanda untuk mengalah menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan menggunakan ‘teaser gun’ sebelum dia jatuh dan segera dihantar ke hospital.

"Bagaimanapun, pada jam 9.10 malam, pihak hospital memaklumkan suspek sudah meninggal dunia di wad kecemasan," katanya.

Muhamad Farid berkata, isteri suspek yang parah kini dirawat di unit kecemasan, manakala anaknya cedera ringan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata dan 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 3:18pm
d