mutakhir

Korban tidur demi ilmu

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: Biarpun bekerjaya dan berkeluarga, usaha gigih melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Pengurusan Pembinaan Bersepadu akhirnya membuahkan kejayaan kepada seorang graduan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ia berikutan, Penolong Timbalan Presiden dan Pembagunan II di Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Abdullah Basri, 37, bukan sekadar berjaya menghabiskan pengajian malah menerima Anugerah Sarjana Cemerlang semalam.

Abdullah yang sudah beristeri dan mempunyai tiga anak berkata, kejayaan itu tidak dikecapinya tanpa melalui usahanya yang bijak membahagi masa.

Beliau berkata, sepanjang perjalanan menggenggam ijazah sarjana itu, beliau terpaksa mengorbankan masa terutama waktu tidur.

“Saya akan membuat bacaan sebanyak mungkin pada waktu rehat bagi menambah ilmu seterusnya membantu dalam penyelidikan.

“Pada sebelah malam, selepas ketiga-tiga anak tidur, saya terus membuat ulang kaji serta menyiapkan tugasan semampu yang boleh sebelum tidur. Itu rutin harian setiap hari,” katanya yang menamatkan pengajian dengan CGPA 3.93.

Abdullah yang juga penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) berkata, kejayaan itu juga dikecapi berikutan tugasan kerjanya berkait dengan bidang dipelajari.

“Alhamdulillah, perkara itu secara tidak langsung membantu saya sepanjang perjalanan mendapatkan segenggam sarjana ini.

“Malah, saya juga mengamalkan penulisan secara berulang bagi mengingati isi penting. Jika 10 kali saya perlu tulis, saya akan tulis. Jika 30 kali saya perlu tulis, saya akan tulis sehingga saya ingat apa yang perlu,” katanya selepas Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen UiTM ke-88 di UiTM Shah Alam, di sini, semalam.

Seramai 800 graduan menerima anugerah dan sarjana masing-masing yang disampaikan Pro Canselor UiTM Tan Sri Dr Arshad Ayub pada istiadat semalam.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Sarjana Cemerlang, Haizatul Aqmar Illyana Helmy, 28, berkata, kejayaan dikecapi diperoleh selepas belajar daripada kesilapannya terdahulu.

Beliau yang menamatkan pengajian dengan CGPA 3.91 berkata, beliau pernah berasa tertekan ketika belajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda kerana mahu mendapatkan ANC.

“Masa itu, saya terlalu mahukan ANC sehingga menyebabkan saya tertekan dan hanya menamatkan pengajian dengan keputusan biasa-biasa saja. Namun, saya belajar daripada kesilapan lalu.

“Jadi saya cuba belajar secara santai agar tidak tertekan seperti dulu. Alhamdulillah, ia berhasil. Pada mulanya saya hanya sasarkan ANC namun tidak menyangka menerima Anugerah Sarjana Cemerlang sekali,” katanya yang kini berkhidmat sebagai pegawai pemasaran di syarikat insuran di Klang.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 11:13am
d