mutakhir

Umpan ayam goreng tarik kaki judi

Oleh Safeek Affendy Razali

Kuala Lumpur: Ayam goreng segera dijadikan antara ‘umpan’ sindiket perjudian atas talian dalam usaha menarik kembali minat ‘kaki judi’ mengunjungi premis mereka selepas operasi besar-besaran dijalankan polis sejak tahun lalu.

Tawaran itu diberikan kepada pemain jika mereka berada dalam premis berkenaan dan ia dikesan dalam dua serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, ke atas dua rumah kedai di sekitar Kampung Baru Subang, kelmarin.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, pihaknya sudah menyedari tindakan sindiket perjudian yang cuba mewujudkan kembali kegiatan mereka terutama di kawasan rumah kedai sekitar Selangor.

“Mereka (sindiket) ini seolah-olah tidak gentar dengan undang-undang dan mencabar polis dengan membuka semula premis perjudian walaupun sudah diberikan peringatan sebelum ini oleh pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Justeru, D7 Selangor akan terus komited mengekang kewujudan semula aktiviti judi atas talian ini melalui pemantauan dan mengumpul maklumat daripada orang awam di seluruh negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam kedua-dua serbuan itu, pihaknya menahan dua wanita warga Indonesia dan empat lelaki warga Nepal dipercayai penjaga dan pekerja premis judi berkenaan.

“Selain itu, kami merampas 20 komputer riba dan masing-masing satu unit tablet dan satu unit modem bagi membolehkan aktiviti judi atas talian berlangsung,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.

Norhizam berkata, walaupun pihaknya akan terbabit dalam penugasan sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) usaha mengesan dan membanteras aktiviti judi tetap diteruskan.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 11:29am
d