mutakhir

'Besar pengorbanan mu doktor muda'

Oleh Amran Yahya

DOKTOR pelatih di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah yang berulang-alik lebih 160 kilometer sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu demi menjaga ibunya, terkorban dalam kemalangan ketika menuju ke tempat kerja, hari ini.

Dalam kemalangan di Kilometer 21, Jalan Seremban-Kuala Pilah pada 5.50 pagi itu, Naim Zafri Che Yusoff, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan selepas keretanya bertembung dengan kereta lain.

Abangnya, Mohd Fahmi, 33, berkata, adik bongsu daripada enam beradik itu yang bertugas di HTAN sejak Disember 2016 berpindah semula ke rumah ibu di Sungai Ramal Dalam, Kajang, pada Julai tahun lalu, selepas kematian bapa mereka.

“Sebelum ini arwah tinggal di rumah sewanya di Kuala Pilah, namun selepas ayah meninggal dunia Julai tahun lalu, adik membuat keputusan untuk berulang-alik dari Kajang ke HTAN kerana kasihan dengan ibu yang tinggal bersendirian.

“Kami adik-beradik pernah menasihatkan supaya dia menetap di Kuala Pilah, namun dia tetap dengan pendiriannya kerana mahu berbakti kepada ibu, lebih-lebih lagi memikirkan dia masih bujang dan tiada komitmen lain,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTAN, Kuala Pilah, hari ini.

Beliau berkata, jenazah adiknya dibawa pulang ke Kampung Sungai Ramal Dalam dan dikebumikan selepas solat Asar, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, siasatan awal mendapati Perodua Kelisa dipandu Naim Zafri dari arah Seremban bertembung dengan Proton Exora dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah Kuala Pilah.

“Pertembungan itu menyebabkan Naim Zafri maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala selain patah kedua-dua tangan serta kaki.

“Pemandu sebuah lagi kereta pula hanya cedera ringan dan turut dirawat di HTAN dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, sembilan pegawai serta anggota dengan sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.57 pagi.

Beliau berkata, pihaknya mangsa tersepit di tempat duduk pemandu keretanya yang remuk.

“Bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum pegawai perubatan mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 3:45pm
d