mutakhir

PRU-14: Perasuah dikeluarkan dari senarai pemilih [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor; Siti A’isyah Sukaimi dan Fairuz Mohd Shahar

PARTI politik dan bakal calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diingatkan supaya mematuhi peraturan-peraturan khusus berkaitan salah laku dan aktiviti rasuah sebagaimana tertakluk mengikut Seksyen 7 hingga 11, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menegaskan, mengikut peruntukan undang-undang itu, segala bentuk rasuah yang dinyatakan adalah berkaitan dengan aktiviti penyamaran; penjamuan; pengaruh tidak wajar dan penyogokan yang berkemungkinan boleh berlaku sama ada sebelum, semasa atau selepas tempoh pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, sekiranya berlaku aktiviti dan salah laku rasuah, pesalah boleh dikenakan tindakan atau hukuman penjara dan denda, malah ia secara tidak langsung boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon di mana pilihan raya kecil perlu diadakan.

“Mereka yang terbabit juga akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih selama lima tahun dari tempoh sabitan berkenaan,” katanya pada sidang media bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Katanya, kuasa berkaitan dengan perbuatan rasuah lebih menjurus kepada bidang kuasa SPRM justeru, pihaknya akan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada setiap salah laku yang dilaporkan kepada SPR dan seterusnya merujuk perkara itu kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Hashim berkata, SPR dan SPRM sudah menyatakan komitmen untuk menjalinkan kerjasama bagi menangani isu-isu kesalahan dalam pilihan raya khususnya berkaitan aktiviti kempen pilihan raya yang berunsur rasuah.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, pihaknya mahu semua parti politik dan bakal calon PRU-14 supaya betul-betul memahami Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 termasuklah memahami keputusan mahkamah berkaitan hukuman kesalahan pilihan raya di Mahkamah Persekutuan.

“Kita juga akan menyiasat kes berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang sudah diputuskan di mahkamah,” katanya.

Terdahulu, SPRM melancarkan bilik gerakan PRU-14 yang beroperasi selama tempoh 24 jam berpusat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Dzulkifli berkata, mana-mana pihak yg mahu menyalurkan sebarang maklumat berkenaan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa khusus dlm tempoh pilihan raya boleh diadukan kepada bilik gerakan PRU-14.

Katanya, bilik gerakan diperingkat negeri juga turut dibuka serentak hari ini.

“Kita juga mewujudkan satu emel baharu supaya orang ramai boleh menghantar sebarang maklumat iaitu pru14@sprm.gov.my manakala talian telefon ialah 03-88700675 atau 03- 8700668 selain faks 03-88700956,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 4:08pm
d