mutakhir

Jurulatih terjun bebas tuduhan rogol [METROTV]

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

JURULATIH pasukan terjun kebangsaan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan merogol seorang atlet penerjun wanita, September tahun lalu.

Hakim Noradura Hamzah memutuskan demikian terhadap Huang Qiang, 36, yang berasal dari China selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Terdahulu dalam penghakimannya, Noradura berkata, mahkamah mendapati wujud terlalu banyak percanggahan keterangan kepada kes pendakwaan dan percanggahan nyata adalah terhadap keterangan antara mangsa, sepupunya dan pegawai penyiasat.

“Mahkamah mendapati terlalu banyak keterangan mangsa bersifat andaian semata-mata dan apabila dibandingkan dengan keterangan saksi lain, wujudnya percanggahan material.

“Selain itu, dua elemen utama perlu dibuktikan pihak pendakwaan dalam kes di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan tidak dibuktikan sepenuhnya terutama elemen perlakuan tertuduh memasukkan zakarnya ke dalam kemaluan mangsa, dilakukan tanpa kerelaan mangsa.

“Tiada keterangan mangsa ketika perbicaraan menjelaskan mengenai isu kerelaan,” katanya.

Dalam keputusannya itu, Noradura mendapati kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi material lain termasuk saksi bebas telah menyebabkan wujudnya lompongan dalam kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mendapat taraf warganegara Malaysia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 20 tahun satu bulan di dalam gimnasium kering (dry gym), Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil pada 5.30 petang, 26 September tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizza Sauni manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hisham Md Nen.

Sepanjang prosiding perbicaraan bermula pada 19 Januari lalu, pihak pendakwaan memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Huang yang memakai baju kemeja merah jambu berkata dalam bahasa Mandarin bahawa dia menerima keputusan mahkamah yang berlaku adil kepadanya.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 5:54pm
d