mutakhir

Mandikan dua anak sebelum 'pergi'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

ANGGOTA polis dalam perjalanan pulang ke balai selepas rondaan cegah jenayah, maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan treler di simpang masuk Balai Polis Senai, Kulai, pagi hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Lans Koperal Muhammad Redzuan Abdullah, 29, meninggal dunia ketika dirawat di Wad Kecemasan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku di Kilometer 24, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dari arah Air Hitam berhadapan dengan Balai Polis Senai.

Beliau berkata, anggota polis yang menunggang motosikal Yamaha 125z hendak membelok masuk ke balai polis berkenaan sebelum dipercayai bergesel pada bahagian belakang kiri treler.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila anggota polis itu dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Senai selepas selesai membuat rondaan cegah jenayah di kawasan Senai.

“Motosikalnya yang berada di lorong kiri jalan hendak membelok masuk ke simpang kiri iaitu ke Balai Polis Senai, namun dipercayai bergesel pada bahagian belakang kiri treler yang berada di lorong sama menuju ke arah Kulai.

“Dia terjatuh di atas jalan raya, manakala motosikalnya jatuh di bawah treler sebelum digilis,” katanya.

Dzulkhairi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, isteri Allahyarham Muhammad Redzuan, Nur Afifah Mohd Nor, 27, berkata suaminya keluar rumah pada awal pagi seperti biasa dan sempat memandikan dua anaknya berusia tiga tahun dan 10 bulan.

“Saya bekerja syif malam dan pagi tadi saya tidur sebentar, apabila dia kejutkan saya, saya lihat anak sudah siap mandi.

“Cuma saya sedih kerana dia ada minta saya buatkan air, tetapi saya tidak sempat buatkan kerana dia sudah mahu keluar bertugas,” katanya yang memaklumkan jenazah suaminya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Saleng, dekat Kulai.

Nur Afifah berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma akhir-akhir ini memberitahu dia merindui arwah bapanya dan mahu pulang ke kampung.

“Memandangkan cutinya dibekukan kerana Pilihan Raya Umum (PRU), saya cadangkan kami pulang ke kampung selepas PRU, tetapi nampaknya perkara itu tidak kesampaian,” katanya.

Allahyarham Muhammad Redzuan yang berasal dari Jerantut, Pahang, mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2010.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 6:11pm
d