mutakhir

Pencuri pandu kereta mewah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENJENAYAH memandu kereta mewah melarikan Perodua Myvi milik wanita yang diletakkan di hadapan rumahnya di Taman Rasmi Jaya, Ampang, Sabtu lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Pung, 24, berkata, beliau meletakkan kereta itu di hadapan rumahnya dalam keadaan berkunci Jumaat lalu, kira-kira 6.30 petang.

Katanya, ketika pulang ke rumah kira-kira 10 malam Sabtu lalu, beliau mendapati kereta itu tiada di kawasan terbabit.

“Saya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit dan mendapati kereta itu dilarikan oleh seorang lelaki.

“Berdasarkan rakaman video, terdapat sebuah kereta Nissan Fairlady Z melalui kawasan terbabit pada 6.45 petang, Sabtu lalu. Beberapa minit kemudian, seorang lelaki keluar dari kenderaan itu sambil menghisap rokok sebelum dilihat menghampiri kereta saya dan memandunya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pung berkata, berdasarkan rakaman CCTV itu juga, lelaki terbabit hanya mengambil masa kurang satu minit untuk membuka pintu keretanya.

“Saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berhubung kejadian ini dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini supaya membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Pung turut memuat naik rakaman CCTV dan gambar wajah serta kereta dinaiki lelaki berkenaan di Facebook sebelum status itu tular sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Usaha memburu suspek dan mengesan lokasi kereta terbabit sedang giat dijalankan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 7:26pm
d