mutakhir

Calon BN lalui saringan ketat

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

BARISAN Nasional (BN) menghantar sekurang-kurangnya tiga hingga lima nama calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen untuk disaring oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, dua hingga lima calon berpotensi itu di hantar bagi kesemua 505 DUN dan 222 Parlimen.

Beliau berkata, pendekatan BN menghantar nama calon untuk saringan menunjukkan parti berkenaan telus dan tulus dalam mentadbir negara ini.

“Menerusi langkah itu, kami dapat memilih calon yang terbaik untuk mewakili suara rakyat di masa akan datang tanpa sebarang masalah berkaitan.

“Mereka mungkin tidak peduli mengenai hal ini dan mereka ‘tangkap muat’ dalam memilih calon. Kalau macam tu, siapa nak ikut mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Jualan Ikan Segar dan Separuh Harga @ Putrajaya, di Putrajaya hari ini.

Kata Tengku Adnan, pihaknya sudah menyelesaikan proses saringan nama calon bagi PRU-14 dan nama calon yang terpilih akan diumumkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak nanti.

Tengku Adnan berkata, lima hingga tujuh peratus daripada kesemua nama calon yang dihantar untuk saringan terpaksa ditolak atas pelbagai sebab.

“Lumrah manusia, kadang kita tidak tahu mereka yang sebenar. Ada yang depan kita okay, tetapi lain pula bila di belakang. Atas sebab itu kita adakan saringan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangkang sering menuding jari kepada BN tanpa melihat masalah berkenaan sebenarnya datang dari mereka sendiri.

“BN mengikut segala undang undang yang ditetapkan, dari segi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kita ikut, dari segi undang-undang pun kita ikut,” katanya.

Pada sidang media berasingan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya belum menerima sebarang senarai calon daripada parti pembangkang untuk proses saringan.

Katanya, setakat ini SPRM hanya menerima senarai nama calon daripada BN dan laporan saringan nama calon berkenaan sudah diserahkan kembali kepada BN.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 8:56pm
d