mutakhir

DAP, PKR, PAN tidak serah nama calon kepada SPRM

Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Fernando Fong

WALAUPUN Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) mempunyai 21 pelbagai kes rasuah yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun mereka tidak akan menandatangani proses tapisan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengarah Pilihanraya PAN, Dr Hatta Ramli berkata, tiada keperluan calon partinya membuat tapisan rasuah kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mewajibkan parti bertanding berbuat demikian.

Katanya, arahan berkenaan bukan mandatori dan partinya tidak perlu mengikuti langkah Barisan Nasional (BN).

“Tidak. Kami tidak akan membuat tapisan rasuah SPRM kerana percaya calon mewakili parti kami bebas rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad hari ini dilaporkan berkata, hanya BN saja yang sudah menghantar senarai calon untuk melalui proses tapisan SPRM bagi memastikan calon terbabit bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Senarai calon yang sudah ditapis itu dihantar semula kepada parti berkenaan untuk membuat keputusan.

Setiausaha Pemuda PKR, Chang Lih Kang berkata, mereka tidak membuat tapisan rasuah kerana tidak percaya terhadap SPRM.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pemilihan partinya akan membuat tapisan sendiri calon mempunyai integriti bertanding dalam PRU-14.

“SPRM perlu terlebih dulu memperbaiki integriti dengan menyiasat kes kami laporkan,” katanya yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tanjong Malim dijangka menentang penyandang yang juga Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Ketua Pemuda DAP Perak, Howard Lee mendakwa SPRM tidak mempunyai kredibiliti untuk menapis calon pilihan raya.

“PH (Pakatan Harapan) tidak akan kehilangan kredibiliti walaupun calonnya tidak ditapis SPRM.

“Orang ramai sendiri tidak mempunyai keyakinan terhadap SPRM,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 10:01pm
d