mutakhir

Polis siasat komen jelik terhadap TMJ

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

POLIS Johor mengesahkan menerima laporan berhubung komen jelik terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, sehingga jam 9 malam, pihaknya ada menerima laporan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, pihaknya tidak boleh mendedahkan berapa laporan yang diterima.

"Kami ada terima laporan (berhubung komen terhadap kenyataan TMJ) dan siasatan sedang dijalankan. Itu sahaja saya boleh maklumkan ketika ini. Berapa jumlah laporan saya tidak dapat kongsikan buat ketika ini.

"Polis akan siasat kes ini seperti biasa dan menyiapkan kertas siasatan sebelum dibawa ke pihak pendakwa raya," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mohd Khalil berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai untuk menjaga tatasusila dan budi bahasa terutama ketika membuat komen dalam media sosial.

"Ini kerana komen dalam media sosial tertakluk pada Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) (1998).

"Kalau kita beri ulasan atau komen dengan menggunakan bahasa jelik, adalah pasti, ia melanggar undang-undang," katanya

Tamat

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 11:26pm
d