mutakhir

Pelajar tahfiz melecur, tiga sesak nafas

Oleh Nor Azizah Mokhtar

PELAJAR perempuan sebuah pusat tahfiz di Taman Subang Mewah di Subang Jaya, melecur tangan, manakala tiga lagi rakannya sesak nafas selepas dapur di premis terbabit, terbakar, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.14 malam.

Beliau berkata, susulan kejadian, empat jentera bersama 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan Puchong dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, ke rumah teres dua tingkat yang dijadikan pusat tahfiz itu, kita dapati dapur di premis itu terbakar.

“Anggota kita mengambil tindakan menutup injap gas sebelum memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan seorang pelajar cedera ringan pada tangan kanan akibat melecur, manakala tiga lagi mengalami sesak nafas kerana terhidu gas dan asap.

Tambahnya, empat pelajar terbabit diberi rawatan awal oleh anggota Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) bomba sebelum dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Syed Shahril Anuar, ketika kejadian, beberapa pelajar perempuan sedang memasak di dapur berkenaan.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila saluran daripada tong gas tercabut dari dapur menyebabkan berlaku kebakaran kecil,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 12:22am
d