mutakhir

Jurulatih dibebas

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang jurulatih pasukan terjun kebangsaan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol seorang atlet penerjun wanita, September tahun lalu.

Hakim Noradura Hamzah memutuskan demikian terhadap Huang Qiang, 36, yang berasal dari China selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Terdahulu dalam penghakimannya, Noradura berkata, mahkamah mendapati wujud terlalu banyak percanggahan keterangan kepada kes pendakwaan dan percanggahan nyata adalah terhadap keterangan antara mangsa, sepupunya dan pegawai penyiasat.

“Mahkamah juga mendapati terlalu banyak keterangan mangsa bersifat andaian semata-mata dan apabila dibandingkan dengan keterangan saksi lain, wujudnya percanggahan yang material.

“Selain itu, dua elemen utama yang perlu dibuktikan pihak pendakwaan dalam kes di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan tidak dibuktikan sepenuhnya terutama elemen perlakuan tertuduh memasukkan zakarnya ke dalam kemaluan mangsa, dilakukan tanpa kerelaan mangsa. Tiada keterangan mangsa ketika perbicaraan menjelaskan mengenai isu kerelaan,” katanya.

Dalam keputusannya juga, Noradura mendapati kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi material lain termasuk saksi bebas menyebabkan wujudnya lompongan dalam kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mendapat taraf warganegara Malaysia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 20 tahun satu bulan di dalam gimnasium kering (dry gym), Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil pada 5.30 petang, 26 September tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizza Sauni manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hisham Md Nen.

Sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 19 Januari lalu, pihak pendakwaan memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Huang yang memakai baju kemeja merah jambu berkata dalam bahasa Mandarin bahawa dia menerima keputusan mahkamah yang telah berlaku adil kepadanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 6:48am
d