mutakhir

Dijel terbabit aktiviti persundalan [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

DUA ibu tunggal dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan terbabit dengan aktiviti persundalan, bulan lalu.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli mengenakan hukuman itu selepas tertuduh Miss Masitoh Pradu, 34, daripada Thailand dan Alya Zara Abidin, 27, mengaku salah terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap kedua-dua tertuduh pada 29 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di dua bilik berasingan di sebuah hotel di sini pada jam 6.15 petang, 29 Mac lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis membuat pemeriksaan di sebuah hotel dan menahan tertuduh.

Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai barang milik tertuduh seperti kondom, resit hotel dan telefon bimbit.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam masing-masing merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menyara anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shahirun Azri Mohd Nordin memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kes.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 1:25pm
d