mutakhir

Rugi RM40,000 terpedaya tawaran batu delima

Oleh Shahrinnahar Latib

HASRAT wanita warga emas memiliki batu delima tidak kesampaian, sebaliknya kerugian RM40,000 disyaki diperdaya tiga lelaki yang menawarkan barang kemas tidak wujud, semalam.

Dalam kejadian pada 1 tengah hari, mangsa, 63, dikatakan didatangi tiga suspek warga tempatan di sebuah pasar raya di Triang, Bera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek didakwa bertanya mengenai seorang kenalan lelaki bernama Haji Yusof kerana mahu memberikan batu delima.

“Seorang daripada suspek dipanggil ‘ustaz’ dikatakan memberitahu ada seorang tauke kaya tinggal di kawasan berhampiran pasar raya, berjanji untuk membayar harga batu delima itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian menawarkan barang kemas itu kepada wanita terbabit sebelum mangsa bersetuju dengan harga diberikan.

“Suspek mengenakan syarat wanita itu perlu membayar dahulu harga batu delima terbabit. Mangsa kemudian mengeluarkan wang simpanan RM39,000 di dua buah bank, selain RM1,000 sedia ada.

“Mangsa dikatakan menyerah keseluruhan wang berjumlah RM40,000 itu kepada suspek,” katanya.

Selepas menyerahkan wang itu, katanya, suspek didakwa menyuruh mangsa menunaikan solat sunat syukur di sebuah masjid di Temerloh.

“Sebaik selesai solat, mangsa mendapati ketiga-tiga suspek menghilangkan diri sebelum menyedari dirinya ditipu.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk tindakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 4:48pm
d