mutakhir

Kerja orang kemaruk jawatan - Mohd Puad

Oleh Mohamed Farid Noh

KETUA UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengakui dalam kalangan ahli UMNO sendiri yang memasang kain rentang mendakwa kononnya masyarakat daerah itu menolaknya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu menyifatkan dalang di belakang pemasangan kain rentang berkenaan sebagai kemaruk serta gila jawatan.

Katanya, pemasangan kain rentang itu didalangi ‘orang dalam’ yang melobi menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Kita sudah dapat mengenal pasti dalang berkenaan dan laporan polis akan dibuat.

“Ia adalah tindakan ‘orang dalam’ yang kemaruk mahu menjadi calon sehingga sanggup menggunakan khidmat pengambil upah politik memasang kain rentang provokasi berkenaan.

“Amat menyedihkan kerana ia bukan kerja orang luar sebaliknya orang dalam parti juga. Orang luar tidak akan melakukan perkara seperti ini dan akan berlawan secara terbuka bila sampai masanya nanti,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Pagi tadi, beberapa kain rentang berkenaan viral di media sosial antara lain memaparkan gambar wajah Mohd Puad dengan ayat termasuk ‘Pemimpin Sombong dan Ego Kami Tolak’, ‘Puad Kekal Lagi Di P150? Tahniah PKR Menang Mudah’ dan ‘Anda Fikir Pengundi Batu Pahat Suka Puad Zarkashi? Kami Penduduk Batu Pahat Berikrar akan Membenamkan Puad Sekali Lagi’.

Kain rentang berkenaan yang digantung di beberapa kawasan termasuk persimpangan utama Sungai Suloh dan Jalan Batu Pahat-Pontian itu dipercayai dinaikkan selepas spekulasi mengatakan Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu bakal dicalonkan semula sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Batu Pahat, semakin hangat diperkatakan.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 4:51pm
d