mutakhir

Bekas girlfriend Alvin tak kena penjara...

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini, mengetepikan hukuman penjara lima bulan 22 hari ke atas Vivian Lee iaitu bekas teman wanita blogger kontroversi Alvin Tan, kerana menerbitkan satu penerbitan menghasut mempersendakan agama Islam di Facebook mereka, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menggantikan hukuman penjara itu dengan denda RM5,000.

Beliau turut mengarahkan wanita itu dipenjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mohd Sofian memutuskan demikian terhadap Vivian atau nama sebenarnya Lee May Ling, 29, selepas membenarkan rayuan wanita itu untuk mengetepikan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 27 Mei 2016.

Ia sekali gus menolak rayuan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin supaya mahkamah menambah hukuman terhadap Vivian.

Terdahulu, Mohd Sofian menasihati Vivian supaya tidak mengulangi kesalahan itu dan memberi amaran bahawa dia akan dikenakan hukuman yang lebih berat, sekiranya mengulangi kesalahan sama.

Pada prosiding itu, Vivian diwakili oleh peguam bela, Chong Joo Tian.

Sementara itu ketika ditemui media di luar mahkamah, Wan Shaharuddin memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan, Khamis ini.

Vivian dan Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee didakwa menerbitkan satu penerbitan menghasut iaitu gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh... wangi, enak, menyelerakan!!!)’ yang mengandungi logo halal di laman Facebook mereka iaitu "Alvin dan Vivian-Alvivi".

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu, pada 9 pagi, 13 Julai 2013.

Pertuduhan mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Alvin melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan politik dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas kesalahan yang dilakukan.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 6:01pm
d