mutakhir

'Semoga rohmu damai di sana...'

Oleh Fazrik Kamarudin

BEKAS Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Afifuddin Omar, 75, meninggal dunia akibat kanser prostat ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, hari ini.

Anak sulung Allahyarham Amran Hafiz, 44, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di samping isteri, lima anak, lima cucu serta ahli keluarga rapat pada 10.23 pagi.

Katanya, arwah dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Sabtu selepas kesihatannya semakin merosot.

“Ayah saya sudah berjuang melawan penyakitnya sejak 2010, namun keadaannya menjadi semakin teruk sejak setahun lalu.

“Walaupun begitu, dia seorang yang amat kuat daripada segi mental, sentiasa berfikiran positif, tidak sekali pun saya nampak dia menyerah kalah, sebelum kansernya merebak, dia masih lagi aktif menulis.

“Ketika saat-saat akhirnya, dia tidak langsung menunjukkan sebarang kesakitan, dia juga sempat berpesan kepada kami sekeluarga untuk terus menjaga sesama ahli keluarga,” katanya kepada pemberita.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada 3.15 petang tadi.

Allahyarham yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Kedah pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan pada 1995 sehingga 1999.

Antara jawatan lain yang pernah disandangnya adalah Pengerusi Bank Rakyat, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) serta Ketua Bahagian Perancangan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 6:01pm
d