mutakhir

Suspek curi harta Istana Abu Bakar ditahan...

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

POLIS Pahang menahan seorang lelaki berhubung kes kecurian 11 barangan di Istana Abu Bakar, Pekan termasuk cenderahati yang dipersembahkan kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, bulan lalu.

Lelaki yang juga penduduk tempatan berusia 45 tahun itu ditahan pada 3 April lalu selepas polis menemui cap jarinya di tempat kejadian.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7 Mac lalu dan menahan beberapa pekerja istana untuk siasatan.

Bagaimanapun katanya, mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kita menjalankan siasatan terperinci dan menemui cap jari seorang individu yang bukan pekerja istana, sebelum kita menahan suspek pada 3 April,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sempena peringatan Hari Polis ke-211, di Kuantan, hari ini.

Rosli berkata, berdasarkan siasatan, suspek bersekongkol dengan seorang pekerja istana untuk masuk ke dalam istana dan membawa keluar barangan berkenaan.

Beliau berkata, suspek juga mengaku mencuri barangan berkenaan dan memecah barangan yang diperbuat daripada emas sebelum menjualnya di kedai emas di bandar Pekan.

“Susulan itu, polis melakukan serbuan terhadap sebuah kedai emas dan merampas blok emas yang bernilai kira-kira RM60,000,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 6:24pm
d