mutakhir

Geng samun bersenjata tumpas [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DUA kumpulan yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan samun bersenjata sekitar Bandaraya Ipoh sejak Januari lalu ditahan dalam serbuan berasingan pada Sabtu dan semalam.

Kumpulan penjenayah berbahaya yang menyamun bersenjata parang dan menyasarkan kediaman warga emas itu dikatakan turut menggunakan kekerasan termasuk memukul serta mengikat mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kumpulan pertama yang berjaya diberkas membabitkan tangkapan dua lelaki berusia 42 dan 56 tahun.

“Polis menerima maklumat berhubung satu kejadian samun di sebuah rumah di Taman Ipoh Jaya pada 4 pagi Khamis lalu membabitkan mangsa pasangan suami isteri, 60-an.

“Pasangan warga emas terbabit diikat tiga lelaki bersenjatakan parang dan mengalami kerugian dianggar RM20,000 membabitkan pelbagai barangan berharga," katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu polis menjalankan operasi memburu suspek dan berjaya mengesan serta memberkas seorang lelaki di sebuah rumah di Menglembu pada 1 pagi Sabtu lalu.

“Hasil tangkapan suspek berusia 42 tahun yang mempunyai 12 rekod jenayah itu, polis menemui pelbagai barangan dipercayai dicuri dan sebahagiannya milik pasangan warga emas terbabit.

“Soal siasat terhadap suspek membawa kepada penahanan lelaki berusia 56 tahun yang mempunyai tujuh rekod jenayah di Sungai Siput, dua jam kemudian dan polis kini memburu seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

Katanya, dua suspek terbabit direman sehingga 13 April ini dan polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes samun serta pecah rumah.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, kumpulan kedua digelar Geng Vinod diberkas selepas terbabit dalam beberapa kes samun termasuk terbaru pada 1 April lalu di Taman Rishah, Ipoh, membabitkan seorang warga emas dengan kerugian kira-kira RM15,000.

“Tangkapan dua lelaki berusia 27 dan 28 tahun itu dibuat di sebuah rumah di Buntong pada 7.15 malam, termasuk seorang yang mempunyai rekod jenayah membabitkan kes bunuh.

“Hasil tangkapan itu, polis menemui pelbagai barang dipercayai dicuri termasuk tiga motosikal dan sebuah enjin dengan kesemua nombor enjin sudah diganggu," katanya.

Katanya, dua suspek itu direman hingga 17 April ini dan kesemua empat suspek disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 6:28pm
d