mutakhir

Hajat Dr M tanding kerusi Langkawi

Oleh Fahmy Azril Rosli

TUN Dr Mahathir Mohamad berdolak-dalik berhubung kerusi yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 meskipun cakap-cakap mengesahkan beliau akan bertanding di Langkawi.

Bekas Perdana Menteri bagaimanapun lebih berbesar hati bertanding di kerusi Pulau Lagenda itu sekiranya keputusan berada di tangannya sendiri.

Namun, katanya, sebarang keputusan berhubung penetapan kerusi pakatan pembangkang itu akan diputuskan oleh jawatankuasa dan bukannya atas kehendak sendiri.

“Saya nak putuskan tak lama lagi. Tetapi, keputusan mesti dibuat oleh jawatankuasa bukan saya.

“Saya punya pilihan adalah Langkawi, Kubang Pasu, Putrajaya, Pekan dan banyak tempat kerana penduduk di tempat itu cukup suka bila saya dicalonkan.

“Kerana, bila saya buat lawatan sahaja akan disusuli oleh (Datuk Seri) Najib (Razak) dengan hadiah-hadiah. Jadi, mereka anggap hadiah itu datang daripada saya,” katanya pada sidang media di Bangunan Yayasan Selangor di Petaling Jaya, hari ini.

NSTP melaporkan, belum ada keputusan rasmi sama ada Dr Mahathir akan bertanding di Langkawi dan perkara itu mungkin diketahui hujung minggu ini.

Ketika dihubungi, sumber dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang digantung sementara pendaftarannya mengesahkan, perkara itu sudah dibincangkan, namun belum ada keputusan rasmi dibuat setakat ini.

Beliau mengakui bahawa sememangnya Langkawi adalah kerusi paling ideal untuk Dr Mahathir bertanding pada PRU-14.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 6:30pm
d